Friday, May 25, 2012

Cabaran Ternakan Lembu Fidlot

Terdapat pelbagai cabaran yang perlu dihadapi untuk memulakan ternakan lembu fidlot ni. Bagi kami, cabaran utama dapat dikategorikan kepada 3bahagian.



Pembinaan Kandang



    Dalam pembinaan kandang ini, kami bernasib baik kerana kami mengubahsuai reban ayam sepupu kami yang telah lama tidak digunakan. Apa yang perlu diberikan perhatian ialah, kita tidak perlu mengeluarkan belanja yang besar untuk tujuan pembinaan kandang ini kerana ini akan menyebabkan kita tidak dapat mengisi kandang kita yang cantik tu dengan lembu. Apa yang harus diberi perhatian ialah kandang tersebut boleh memberi teduhan kepada palung makanan dan boleh menghalang lembu kita dari terlepas keluar.



    Bagi menjimatkan kos pembinaan, kita boleh menggunakan kayu-kayu terpakai yang boleh didapati di kedai kayu terpakai ataupun boleh membeli kayu-kayu daripada rumah lama yang banyak terdapat di kampung-kampung. Lantai boleh disimen ataupun dibiarkan tanah. Jika disimen hendaklah disediakan saliran air yang boleh mengalirkan air basuhan kandang ke dalam saliran. Juga sediakan "ramp" supaya mudah menurunkan lembu dan juga menaikkan lembu ke lori.



Gambar Asal Reban Ayam Sebelum Ubahsuai





Gambar Kandang Selepas Ubahsuai
Pemilihan Baka Lembu



    Pemilihan baka lembu yang hendak diternak bergantung kepada target pasaran dan juga kepada tempoh masa ternakan yang hendak dijalankan. Sebagai contoh, saya bercadang hendak menjual lembu di musim Hari Raya Korban, jadi saya telah mengambil semua 20 ekor lembu saya berumur di antara 1 tahun 8 bulan. Jadi pada musim Raya Korban nanti kesemua lembu saya sudah boleh di jual. Tetapi sekiranya ada pelanggan yang memerlukan lembu untuk sembelihan, saya juga akan menjual lembu saya kepada pelanggan tersebut. Selain itu saya telah memilih baka Brahman, Brahman Cross kerana baka-baka ini mempunyai kenaikan berat badan 0.8kg ke 1.0kg sehari. Jadi kita tidak perlu menternak terlalu lama untuk dijual kepada pelanggan. Ini boleh menjimatkan kos makanan kerana tempoh ternakan tidak perlu lama.



    Tidak salah untuk kita memilih dari baka lembu tempatan iaitu K-K, tetapi baka ini mempunyai kenaikan berat badan 0.5g ke 0.8g sehari. Jadi tempoh ternakan akan menjadi panjang sekiranya kita hendak menjualnya kepada pelanggan. Kos makanan juga akan bertambah kerana tempoh ternakan memakan masa yang panjang.

Lembu-Lembu Yang Ada Di Ladang Kami
Makanan Ternakan

    Pemberian makanan amat penting kerana makanan adalah penyumbang utama kepada kos pengurusan untuk ternakan lembu fidlot. Kami memberi pelepah sawit sebagai diet utama kapada lembu-lembu kami kerana pelepah sawit boleh didapati dengan banyaknya di sekitar kawasan berhampiran dengan kandang kami ini.

    Selain itu, kami ada memajak setengah ekar tanah untuk ditanam dengan rumput napier. Tapi buat masa ini rumput napier tersebut masih belum boleh diberikan kepada lembu-lembu kami kerana masih lagi belum mencukupi. Kami berharap dengan adanya rumput napier ini, kami boleh menjimatkan kos pengurusan ladang ternakan kami.


Rumput Napier


Friday, May 18, 2012

Hidup Baru Sebagai Penternak

    Pada 12 may 2012, hidup kami sudah berubah kerana kami telah menerima 22 ekor anak baru yang memerlukan perhatian dan pemantauan yang agak ekslusif kerana mereka semua masih baru di kandang lembu kami.

    Dengan ini kami dengan rasminya menjadi penternak lembu, walaupun belum seratus peratus tapi langkah untuk menjadi penternak telah kami mulakan. Projek ternakan ini telah difikirkan bermula dari tahun 2011 lagi, tetapi hasrat tersebut kami pendamkan kerana faktor tapak kandang dan juga faktor modal yang terhad.


    Jadi pada tahun 2012 ni kami tekadkan hati untuk memulakan juga projek ternakan ni. Bermula dengan tanaman rumput napier pada bulan Februari dan diikuti dengan pengubahsuaian reban ayam sepupu kami kepada kandang lembu.


Gambar Lembu-Lembu Yang Baru Sampai ke Kandang Kami